Nuffnang ads

Thursday, November 22, 2018

Pemanis asli tamadun Aztec - Phyla dulcis

Saya telah memiliki tumbuhan ini selama lebih dari 6 bulan sebelum mengetahui namanya. Pencarian nama menggunakan aplikasi PictureThis and PlantSnap berkali-kali kali dari pelbagai sudut juga gagal menemukan jawapan yang memuaskan untuk pokok ini. Padanan paling dekat yang dijumpai ialah American Cornmint yang sama-sekali tidak menepati ciri-ciri tumbuhan ini. Penjual tumbuhan ini memanggilnya dengan nama Ros Stevia , berkemungkinan  kerana sifat daunnya yang manis seperti stevia. Beberapa kali mencuba akhirnya saya terlupa kerana kesibukan.

Beberapa hari lepas ketika bekerja di nurseri Melurdotcom kerana pembantu-pembantu bercuti Maulidurrasul , saya bertemu dengan seorang cikgu yang begitu tertarik dengan pokok yang hanya ada sepasu besar di nurseri saya. Beliau berjaya membuat saya berjanji membuat anak benih kerana saya tidak mahu  menjual pokok yang hanya sepasu itu. Untuk memberitahu pembantu nurseri menyemainya saya perlu tahu nama dan bagaimana cara terbaik untuk menjaga pokok yang tidak dikenali sebelum ini.


Alhamdulillah ini hari bertuah saya. Pencarian google image  saya membawa saya kepada tumbuhan ini yang dikenali dengan nama botaninya Phyla dulcis atau sinonimnya Lippia dulcis.


Nama Botani; : Phyla Dulcis /Lippia Dulcis
Keluarga: Verbanaceae
Nama Lain: Aztec Sweet Leaves, Bushy Lippia, honeyherb, hierbia dulce,Mexican lipia, sweet mint, Dushi button,

Tumbuhan ini merupakan tumbuhan yang telah lama digunakan dalam sejarah manusia. Ia digunakan oleh masyarakat Mayan , Tamadun Aztec di Mexico. Tumbuhan yang berasal dari Mexico , kepulauan karibian, Amerika tengah, Colombia dan Venezuela  ini mengandungi sejenis sebatian yang menghasilkan rasa manis pada daunnya. Sebatian ini dinamakan hernandulcin  yang ditemui pada tahun 1985. Sebatian ini dinamakan hernadulcin mengambil sempena nama seorang doktor Sepanyol bernama Fransisco Hernandez yang mula menghuraikan tentang tumbuhan ini pada abad ke 16. Daun yang manis ini bagaimanapun mengandungi sebatian kapur barus yang mempunyai rasa sedikit pahit. Kapur barus agak toksid jika diambil dalam kuantiti yang banyak terutamanya kepada binatang dan kanak-kanak. Daun  ini digunakan secara segar dan kering.

Ketinggiannya pada habitat asal boleh mencapai antara 4 hingga 6 meter. Namun di negara kita ketinggian biasa dijumpai kurang dari 1 meter sebelum ia rebah dan menjadi tumbuhan yang menjalar seperti kaduk. Ia memerlukan tanah poros dan bersaliran baik. Akarnya akan buruk jika terendam dalam air. Daunnya berwarna hijau gelap dan boleh bertukar menjadi keunguan  jika terdedah pada matahari yang terik. Panjang daun lebih kurang 1- 4 cm berbentuk bujur telur dengan bahagian tepi yang bergerigis. Batangnya berwarna agak kemerahan jika terdedah pada cahaya matahari yang terik. Bunganya berwarna putih dan berbentuk oblong.Ia membiak melalui kaedah keratan batang dan biji benih.



Kegunaan :

Masyarakat aztec menggunakan tumbuhan ini sebagai pemanis semulajadi, herba perubatan untuk mengubati batuk dan bronkitis.Ia digunakan sebagai pemanis gantian untuk pesakit kencing manis , juga sebagai herba perubatan untuk menurunkan tekanan darah tinggi.

Kegunaan lain untuk menurunkan tekanan darah tinggi, merawat masaalah pencernaan Ia juga boleh dimakan untuk mengurangkan ketagihan gula. Boleh di campur ke dalam salad buah dan masakan sebagai pemanis semulajadi. kandungan kapur barus dalam daunnya menyebabkan ia tidak digalakkan dimakan  dengan terlampau banyak seperti sayuran. Gunakan hanya beberapa helai daun untuh teh dan masakan. Ia sesuai dimasukkan ke dalam masakan seperti kari daging menggantikan gula kerana aromanya.


Bunganya dijual secara komersial dengan nama dushi atau dulce.Bunganya , kering atau segar digunakan sebagai pemanis salad dan aiskrim. Antara bunga yang boleh dimakan.



Kombinasi paling menarik adalah bunga ini dan kopi.Sekuntum bunga sudah lebih memadai untuk memaniskan secawan kopi. Bunga ini juga dijadikan hiasan makanan manis seperti coklat, kek dan aiskrim.



Penafian:
Maklumat ini disiarkan adalah untuk pengetahuan am dan tujuan pembelajaran semata-mata. Ianya tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan. Anda disarankan mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang persediaan herba. Melur.com ialah sebuah laman web persendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana pertubuhan, organisasi atau e-group.


1.Website: https://www.melur.com

2. Store Lazada kami https://www.lazada.com.my/shop/melurcom

3. Store shopee kami https://shopee.com.my/anoraida
4. Lokasi GPS Nurseri : https://goo.gl/maps/V2v5zgYj51w
5. Facebook: https://www.facebook.com/messages/t/melurdotcom